Ahlan wa sahlan

Assalamualaikum!

Selamat datang,
selamat singgah dan menjengah;
moga daripada secebis waktu, bermanfaat untuk semua!

Doa Malam (Barokah)

Selasa, 20 Disember 2011

lalu aku dedikasikan ini kepada Ahmad Zafrullah Afham, Sahabat perjalanan Royal College of Surgeons in Ireland.


Sungguh,
doaku sedalam malam;
membingkiskan satu,
daripada Satu.

"ya Allah, aku memohon keberkatan;
atas apa yang telah pergi,
dengan semua sedang terjadi,
akan segala lagi menanti"

"ya Allah, kupohon sangat,
dengan rahmat-Mu,
andai uruskan ini,
urusan kami;
bagi kedua kami,
untuk agama, dunia seisi
serta yang pasti:-
mudahkan, dekatkan,
berkahilah jalan-jalannya;
antara kami.

dan jika ilmu-Mu,
dengan segala bijaksana-Mu;
jua dengan sebaik,
terbaik perancangan Mu,
buruk untuk segala kami;
lemparkan jauh antara kami,
sejauhnya langit seluas bumi;
lalu tenangkan lagi lapangkan,
redhakan dengan sebaik ketentuan."

kerana,
langkah-langkah kelak jauh;
panjang kepada-Mu mencari pulang,
lalu biar pertama langkahnya,
dengan reda-Mu dan penuh barokah.

-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-
Nadim Muhammad
20 Disember 2011
Kangar, Perlis.
Bookmark and Share

Syukur

Kesyukuran itu adalah kunci kepada nikmat, hikmah dan keampunan Allah yang luas.
Kesyukuran itu adalah rahsia-rahsia yang memudahkan dunia.

Alhamdulillah, atas segala kefahaman yang Kau mudahkan untukku, ya Allah.

-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-
Nadim Muhammad
Bookmark and Share

Cerita Masa

Sabtu, 6 Ogos 2011



siapa kita untuk meneka-neka, dan mengintai denai takdir? siapa kita untuk menentukan lagi menetapkan akan sesuatu dan semua yang berlaku? siapa kita - yang tidak punya pengetahuan - untuk memutuskan, dan menghakimi sesuatu?

siapa kita, bila untuk mengatakan itu terbaik untuk kita, atau itu pasti celaka? pasti - saya, awak dan kita tidak pernah tahu akan yang ghaib itu. apa yang akan datang, dan semua yang pasti berlaku.

lalu siapa kita, bila Tuhan dengan firman agungNya,

"dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu, padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."
(Al-Baqarah 2:216)


untuk menghakimi, lagi memutuskan? atau meneka, menentu dan menetapkan?
kita hanya hamba-hambaNya berjalan mencari makna dalam dunia ilusi faana ini, yang pasti pulang, kembali kelak pada-Nya, abadi.

maka, mari kita sebagai hamba-Nya dengan melangkah perjalanan ini memohon sangat reda-Nya. dan mendoakan kebaikan dan terbaik untuk semua yang telah datang dan semua yang akan bertandang. Allahumma ameen.

ya, mendoakan kebaikan untuk semua, kerana siapa kita untuk tahu semua yang telah berlaku itu, mesti dalam suka lagi gembira, duka lagi luka, hampa dengan kecewa itu penuh hikmah yang tanpanya kita tidak menjadi kita sekarang.

yang tanpanya, kita tidak pernah akan belajar dan membesar; lalu mengertikan makna hidup dan kehidupan. yang tanpa tangis tawa berlalu itu, kita menjadi manusia dan memahamkan erti kemanusiaan. dan dengannya kita menjadi hamba-Nya yang lebih memahami hakikat kebesaran kekuasaan-Nya dan mengakui keluasan ilmu-Nya.

lalu, mari kita letakkan pada-Nya dan memohon segalanya yang terbaik. Allah lebih tahu, Allah lebih tahu. =]

ya Allah, aku memohon kepada-Mu keberkatan Ramadhan.

-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-
Nadim Muhammad
6 Ogos 2011 (6 Ramadhan 1423H), Pulau Pinang.
Bookmark and Share

Bebas

Sabtu, 2 Julai 2011



Sesungguhnya, tiada lagi yang menyenangkan melainkan telah bebas kita daripada masa lalu, dan bahagian- bahagiannya. Bebas daripada semua yang sebelum ini mengikat untuk kita berganjak jauh dan berlari ke hadapan. Bebas daripada segala kabur dan kelam untuk mengatur langkah mendatang.

Syukur, dengan sepenuhnya syukur dalam serendah hinanya diri sebagai hamba Allah ini; aku memohon dengan penuh dan sangat, moga yang telah datang dan berlalu itu - bersamanya ada hikmah ; dan juga segala semua yang mendatang nanti kelak lebih baik daripada semalam dan terbaik daripada apa yang telah berlalu walaupun itu tidak sebaik yang lalu.

Perjalanan itu, lagi masih jauh. Perjanjian yang erat dan berat juga lagi dipegang utuh, sedang hari-hari dihitung akan segala tergalas itu akan dikota. Apabila telah lepas segala yang lepas, perjalanan ini, pasti mempunysi destinasi yang berbeza daripada asalnya, juga dengan gerak langkahnya.

Setinggi syukur, Alhamdulillah; lalu aku mendongak ke langit memohon keberkatan baki perjalanan daripada Allah. Allahumma ameen.

-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-
Nadim Muhammad
Lahat Court,
Pulau Pinang
3 Julai 2011, 2.50 pagi
Bookmark and Share

Masa & Cinta

Jumaat, 3 Jun 2011

benar,
masa mengajar kita tentang cinta -
yang dengannya kita menjadi manusia.
bahawa kadang mungkin luka lama itu,
adalah hadiah terbaik daripada cinta
moga kita bersyukur seadanya.

-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-
Nadim Muhammad
3 Jun 2011,
Melaka Manipal Medical College.
Bookmark and Share

Pulang(i)

Ahad, 29 Mei 2011


untuk adinda, Siti Khadijah A Ghani selamat menemukan Allah pada 9 April 2011.

cintaku,
kita hanya hamba-Nya;
bukankah,
asalnya kita dengan perjanjian-Nya -
bahawa kelak,
kembali kita dalam datangnya.

cintaku,
jauh kita hanya pada sengenggam tanah;
pada relatif ruang dan waktu,
dengan penuh sendu dan rindu -
meski telah kau,
menyahut janji-Nya dahulu;
akan kelak aku kotakan juga.

cintaku,
moga tenang kau;
sedamai nyanyian malaikat,
bawah lembayung kasih-Nya.

-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-
Nadim Muhammad
29 Mei 2011, Pulau Pinang.
Bookmark and Share

Realiti

barangkali,
masa yang mengikat kita dalam ruang itu
-sekadar satu lagi ilusi minda.
yang kita namakan realiti.

-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-
Nadim Muhammad
29 Mei 2011, Pulau Pinang.
Bookmark and Share

Doa

Isnin, 7 Mac 2011


Jika kau terasa seorang
-ingat bahawa Allah sentiasa bersamamu;
dalam perjalanan,
sepanjang jalan.

Moga selamat perjalanannya. =]

-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-
Nadim Muhammad
6 Mac 2011
Kangar, Perlis
Bookmark and Share

Mujahadah (Bersungguh)

Ahad, 6 Mac 2011

kejar dunia ini dengan usaha
- mujahadah dunia seperti kau abadi dan takkan kembali.

kejar akhirat nanti dengan usaha
- mujahadah sana seperti esok kau pergi.

-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-
Nadim Muhammad
6 Mac 2011
Kangar, Perlis
Bookmark and Share

Cerita Cinta(VI)

Khamis, 3 Mac 2011


terima kasih;
untuk semua cinta,
yang tidak pernah terungkap kata
dan jauh terhijab masa.

-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-
Nadim Muhammad
1 Mac 2011
Kangar, Perlis
Bookmark and Share

Tentang Peluang

Khamis, 17 Februari 2011


kenapa kau bertanya (lagi),
soalan yang kau sendiri telah -
tetapkan jawapannya (sebelum pertanyaan itu dijawab)

lalu, soal jalan dan pilihan
-seharusnya telah selesai;
maka bersyukurlah
dan terus melangkah!

peluang mengubah hidup,
datang sekali-sekala
-kadang-kadang terlalu halus-
sama ada kau mengambilnya,
ketika itu;
atau terlepas seumur hidup.

sebelum kau berbicara,
tentang peluang yang hilang;
- tanya pada diri:
"pernah dibuka ruang,
untuk peluang yang datang?"

ini bukan tudingan jari
-mari sama kita refleksi,
kelak laju kita berlari.

semoga
yang telah datang
dan berlalu;
yang akan datang
dan bertandang,
diberkati-Nya

*nota: jahitan status-status tweeter dan facebook.

-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-
Nadim Muhammad
Kangar, Perlis
18 Februari 2011
Bookmark and Share

Sunnatullah

Selasa, 25 Januari 2011


Kau pun tahu;
bahawa sunnatullah itu berlalu,
seperti mana berkali kepada orang yang sebelum kita
-seperti itu juga pada kita;
juga akan kepada orang yang datang,
selepas kita.

-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-
Muhammad Iqbal(Nadim Muhammad)
Dublin, Ireland
25 Januari 2011

Bookmark and Share