Ahlan wa sahlan

Assalamualaikum!

Selamat datang,
selamat singgah dan menjengah;
moga daripada secebis waktu, bermanfaat untuk semua!

Sang Pengail Renta (Anakku IV)

Ahad, 14 November 2010




Anakku,
sang pengail itu benar:-
kail ini banyak mengajarku
tentang hidup;
biar sejengkal,
tetap dalam laut kuduga,
juga semua danau kucuba.

meski perit,
menjengah gelora samudera,
membelah tebal belentara,
aku tidak pernah kenal,
tidak pernah tahu,
tidak akan mahu
putus asa.

kail ini mengajarku,
bahawa hidup satu seni;
bila perlu aku,
memilih umpan terbaik
kuhulurkan untuk ikan
dalam lautan masin,
atau tawar danaunya.

bila perlu aku,
menunggu kail itu,
dengan setia,
sabar bersama
atau perlu aku pulang tanpa kata.

bila aku perlu,
berdansa dengan ikan,
yang terpikat dek umpan
atau bila perlu ,
ikan aku lepaskan
lalu yakin dengan,
tenang janji Tuhan.

bila perlu aku,
tetap terus di lautan itu,
tetap diam di danau itu;
atau melangkah bebas,
menjejak daerah baru.

Maka itu cerita dia;
sang pengail renta
dengan kailnya
berkisah padaku
dalam hujung usianya.


-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-
Nadim Muhammad
Darul Islah,
Dublin Ireland
14 November 2010
Bookmark and Share

0 ulasan: