Ahlan wa sahlan

Assalamualaikum!

Selamat datang,
selamat singgah dan menjengah;
moga daripada secebis waktu, bermanfaat untuk semua!

Biar Berlalu Pergi

Ahad, 19 September 2010



Melepaskan sesuatu itu, perlu kuat dan ikhlas - meski berat. Doakan kepada Allah, moga itu yang terbaik bagi semua.

Mungkin, ada sesuatu yang lebih baik; ada ganti yang terbaik untuk apa yang dilepaskan pergi - sama ada rela atau tidak. Yang penting, sebagai hamba, kita tidak boleh tidak menafikan takdir yang tertulis. Allah lebih tahu yang terbaik, dan Allah lebih tahu apa yang lebih baik.

Melepaskan seseorang yang kita letak dekat dengan hati, dalam diri dan istimewa bagi kita; memang tidak semudah kata. Yang lebih penting adalah mereka bahagia bersama pilihan mereka, walaupun itu bukan kita. Kecintaan kita adalah cinta kepada mereka melebihkan cinta mereka sendiri - melebihkan daripada mereka dengan menerima segala mungkin apa yang terbaik untuk mereka meski kita perlu berkorban.

Apakah itu semudah tertulis?
Pasti tidak. Pentingnya, kita perlu reda dan rela. Selagi mana kita telah memilih begini, selagi itu tiada penyesalan atas semuanya.

Bukan aku bermain-main; banyak lagi dalam hidup ini, perjalanan yang kita perlu teruskan. Apa yang berlaku dan berlalu itu, biarkan dan tinggalkan supaya tamat disitu. Usah dibawa ke masa hadapan -- yang akan menganggu hidup kelak-- cukup sekadar kita mengambil pelajaran.

Melepaskan kita perlu ikhlas. Ikhlas tidak pernah perlukan sebab melainkan kerana Allah. Segalanya, dan semuanya hasil untuk Allah, dan tiada pengharapan untuk mendapat balasan melainkan daripada-Nya.
Ikhlas tertunjuk dengan kadar tetap sesuatu amal dalam sendiri atau ramai, dengan puji atau keji - sedikit pun tidak berubah dengan persekitaran kerana ikhlas itu ada dalam diri.

Melihat sesuatu berlalu, kekuatan perlu ada. Kekuatan yang cekal dan dengan tabah sahaja yang boleh membuatkan kita terus melangkah dan berlari sesudah usai semuanya. Kekuatan untuk mulakan sesuatu yang baru walau itu tidak mudah -payah dan susah. Siapa tahu, yang telah berlaku itu memang disusun-Nya untuk berlaku dan berlalu untuk kita belajar menjadi insan, membesar menjadi manusia.

Bersangka baik dengan Allah, sedang Dia mempunyai ilmu daripada awal alam hingga hujungnya- pasti Allah - Maha Mengetahui itu- mengaturkan sebaik-baiknya untuk para hamba.

-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-
Nadim Muhammad

Kangar, Perlis
19 September 2010
Bookmark and Share

0 ulasan: