Ahlan wa sahlan

Assalamualaikum!

Selamat datang,
selamat singgah dan menjengah;
moga daripada secebis waktu, bermanfaat untuk semua!

Nota Seorang Zauji dan Abi (i)

Jumaat, 16 Julai 2010

*ini nota masa. nota yang kami sendiri tidak mampu menjelaskan dengan kata. cuma tertulis. tertulis jauh daripada masa hadapan, menjadi tatapan sebagai ingatan.



Tidakkah kau melihat, pada kami itu ada ketenangan seorang suami dan kematangan seorang bapa?

Kami dianugerahkan amanah berat, dengan perjanjian yang berat, lalu kami bersyukur. Dengan kesyukuran itu, hijab masa terangkat dan dua jiwa diikat. Dalam kesyukuran itu, dua insan yang tidak pernah bertemu, kerana mencari reda-Nya bersatu. Dengan kesyukuran itu, kami menjejak-jejak langit-Nya, merayau bercanda dalam syurga-Nya, insyaAllah dengan izin-Nya. Lalu mendoakan keberkatan dan rahmat daripada Allah, yang memberikan semua itu.

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
Ar-Rum,30:21


Daripada kesyukuran itu, ditambah-Nya nikmat lagi amanah yang menjadi bukti-bukti cinta kami. Bukti-bukti yang tidak kami mampu ungkapkan dengan kata, tetapi jelas lagi nyata. Bukti yang menjadi saksi janji-janji Ilahi. Bukti sebagai penyejuk mata, lagi mendamaikan sukma. Bukti yang banyak membesarkan kami lagi dalam membesarkan mereka. Bukti-bukti kekuasaan-Nya.Lagi kami bersyukur, dengan kesyukuran seluas langit dan bumi. Tidakkah kalian melihat?

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
Ar-Furqan,25:74


Tapi, Allah berbicara. Pemilik seluruh kerajaan alam itu selalu mengulangkan kata-Nya. Tidak semua itu sia-sia. Itu dipinjam-Nya, sebagai ujian moga kami bertambah iman serta menemukan hakikat kehambaan atau memalingkan lagi menjadi kufur. Itu semua, milik-Nya, serta kami pun, akan pulang kepada-Nya. Semua itu, amanah yang berat meskti indah dan bukti itu dipesan-Nya supaya tidak kami -sebagai hamba juga khalifah- tidak kami lebihkan kasih melebihkan pada dan untuk Allah, Rasul-Nya serta berjuang dalam jalan-Nya:- JIKA TIDAK, TUNGGU KATA PUTUS DARIPADA-NYA.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).
At-Taubah,9:24


Juga, diingatkan moga terus mengukap syukur, bahkan lebih daripada itu:- supaya kita bertasbih lagi memohon ampun pada-Nya. Dan meningatkan kita akan pulang, kembali menemukan Ilahi, abadi. Maka, dengan semua sini, kami bersyukur. Alhamdulillah. Dengan kesyukuran itu memang, kami menyedari dan mengakui akan kami hamba dan kehambaan kami.

Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya;
Ash-Shura, 42:36


Dengan semua ini, insyaAllah dengan izin-Nya, kami berusaha seupaya mungkin, lagi sebaik yang dapat kami. Kerna itu, akan ditanya nanti. Perjanjian yang berat itu, lagi bukti-bukti yang ada akan ditanya. Moga nanti, mereka itu menjadi jalan-jalan untuk kami menjejak taman-taman-Nya, bukan membawa kami dalam nyalaan api-Nya.

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
At-Tahrim,66:6


InsyaAllah, sampai situ. Maka, tidakkah kau melihat pada kami itu ada ketenangan seorang suami dan kematangan seorang bapa? Itu janji-janji-Nya. Alhamdulillah.

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.
Ibrahim,14:7



-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-
Nadim Muhammad

16 Julai 2010
KTM Komuter ke KL Sentral.
p/s- tulisan bersama untuk Nota Satu Nama, http://silent1412.blogspot.com

1 ulasan:

ana berkata...

subhanallah.