Ahlan wa sahlan

Assalamualaikum!

Selamat datang,
selamat singgah dan menjengah;
moga daripada secebis waktu, bermanfaat untuk semua!

Utusan

Sabtu, 28 Februari 2009


Salam serta sembah hormat dari tanah yang jauh; untuk tuanku.

Tika dalam berlalunya masa, meski patik ada kala tetap mengambil selangkah belakang, sejenak:- berpaling merenung jejak denai yang telah berkesan.
Perjalanan ini, benar; jauh lagi dari destinasi. Sepanjang yang dilalui ini, bila ditenungkan; buat patik sejenak untuk menitip pada tuanku.

Tuanku,

Meski, ungkap patik, tanah yang dipijak ini, tidak seasingnya seperti tanah kita;
tapi kejauhan ini, dan insan2 yang menjadi watak dalam tikanya menjadikan cerita dan kisah langsung, terus berbeza.

Dan kisah-kisah patik di bumi ini; yang bersama anginnya nyaman membisik dan memanggil, adalah satu jilid daripada naskah epik kecil yang ada kala patik sendiri tidak mampu mengungkapkan.

Jilid hikayat perantau ini, dalamnya ada seribu macam hikmah yang untuk sama-sama di terjemah; yang perlu teliti ditelaah, dan rapi dihayati. Seperti ungkap tuanku itu, akan mutiara itu ada pada dasar, bukannya terapung mudah.

Patik seadanya banyak memilih untuk diam, dan daripada jauh memerhati. Sungguh; dalam diam itu terlihatkan banyak teladan dan sempadan:- tinggal untuk patik menyisih, menyaring, dan mengambil akan mana yang terbaik, menjadi ikutan dan pedoman.
Diam itu temannya sepi, dalam sepi itu buat patik lebih mengerti. Seolahnya sepi itu peluang untuk lebih dekat dengan diri:- menilai dan meneliti. Kesepian itu bukan hukuman, tapi hadiah daripada Tuhan. Sepi itu serasa dekat kasih Ilahi.

Tuanku,

Tinta kecil dari bumi jauh ini, sampai tika ini; moga nanti dapat patik utuskan dengan angin lalu bersama musim-musim yang menyapa.
Doakan patik dalam kembara ini; moga tiba, sampai destinasi. Moga mimpi semalam, yang menjadi harapan hari ini, adalah realiti esok hari; moga patik sampai jumpa juga nanti. Moga yang terbaik untuk kita.
Sampaikan salam patik pada seisi istana dan negeri.

Nadim Muhammad

Derhaka

Ahad, 8 Februari 2009




aku anak kesultanan melaka;
adat kami, tak pernah derhaka,

selagi sultan memegang syariatNya,
berhukum adil dan saksama.

meski yang zalim itu disanggah,
tidak bertuankan, itu sudah.

tapi kami, takkan pernah derhaka!
daulat tuanku.

-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-

Nadim Muhammad
Raudhah As-Sakinah
Mt Pleasant Ave, Ireland
8 Feb 2009

Kembara(v)

Jumaat, 6 Februari 2009



dan bila mana langkah ini,
kembara telah bermula;
masakan berat?

lantas sepanjang jalan,
seribu citra kisah;
tercoretkan.

ya, ini keranaNya;
untukNya.

-untuk yg memahami, yg sudi mengerti-

Nadim Muhammad
6 Feb 2009
RAS, BAI.
Mt. Plea Ave Lower, Ăˆire