Ahlan wa sahlan

Assalamualaikum!

Selamat datang,
selamat singgah dan menjengah;
moga daripada secebis waktu, bermanfaat untuk semua!

Mimpi Nadim(ii)-Tentang Cinta

Selasa, 23 Oktober 2007




WATAK-WATAK
Nadim Muhammad
Sultan
Laksamana

Ini khabarnya dalam pentas mimpi.

Katanya, tika itu sekitar penghujung kurun ke-15.

Tatkala genap beberapa purnama merantau, kembali Nadim ke tanah Kayangan. Dan apabila perkhabaran tiba di istana, terus-terus dititahkan Sultan untuk mengadap.
Perkarangan Balairung, Istana Kayangan.

(Nadim melangkah masuk, tiap langkah disusun kemas, lantas menjunjung sembah)

Nadim
Ampun tuanku, sembah patik harap diampun. Patik, Nadim, mengadap.

Sultan
(Tersenyum) Nadim, selamat pulang ke tanah ini. Lama benar jua tidak kita bersua, sejak Nadim merantau, bukan?

Nadim
Agaknya, begitu lebih kurangnya Tuanku. Meski, terkadang itu, terasa patik; masa itu cepat-cepat berlalu, akan pada suatu tika, panjang benar. Lumrah Tuanku.

Sultan
Alhamdulillah, meski, tiba jua Nadim disini. Tujuan beta memanggil Nadim, bukan-bukan sekadar membuang masa, maaf andai tidak Nadim sempat cukup rehatnya. Khabarnya, dalam perjalanan Nadim itu, banyak hikmah yang diperoleh; beta harap sedikit sebanyak, berkongsi dengan beta, dengan sekalian rakyat.

Nadim
InsyaAllah Tuanku, patik berbesar hati. Memang, pesan orang dahulu itu benar, jauh perjalanan, banyak pengalaman. Entahlah Tuanku, sedang patik ini sekadar berkongsi yang termampu. Apa tentangnya Tuanku?

Sultan
Khabarkan pada beta, dalam perjalanan itu, tentang cinta. Tentang-tentang cinta.

Nadim
Tuanku?. (Terkesima)

Sultan
(Tatkala melihat air muka Nadim berubah )Benar Nadim, meski beta tahu, Nadim itu perantau terluka. Kehilangan itu, anggap sebagai ujian. Atas bukan niat beta untuk mengungkit; biar yang berlalu itu, terus-terus berlalu. Hari ini, sekadar sembang-sembang barangkali. Beta harap, meski sembang biar terisi dan berisi. Nadim, benar, kelukaan itu tidak dipinta, akan itu, renung-renungkan hikmah disebaliknya. Kerja Tuhan, siapa tahu.

Nadim
Patik mengerti, ya, meski lagi yang masih sakit, yang luka itu ada. Parut-parut itu, jua menitis-nitis lagi darahnya. Tiap sakit dan luka itu, sudah lama patik reda atasnya; sudah lama patik fahami, atas setiap itu, menagih kesabaran begitu jua pengorbanan. Tuanku, meski yang berlalu itu terus; tetap-tetap patik kenang. Dalam kesedihan itu, ada juga kemanisan, hikmah-hikmah yang bisa patik takfsirkan, yang bisa patik fahami dan mengerti. Patik yakin, dengan kekuasaan Allah, tuhan yang menguasi alam; ada jua rahmat yang tak bisa patik fikirkan. Begitu indah aturanNya, Tuanku. (Kembali tenang )

Laksamana
(Mencelah) Maka, apa lagi dinantikan Nadim, khabarkan bersama, tentang cinta itu.

Nadim
Bawa bersabar Tuan Laksamana. Tidak lari gunung dikejar. Meski, tetap langit yang kita junjung. Mari, patik kisahkan, sekadar atas khilaf patik. Andai salah, jua silap; sama-sama kita belajar.Jeda.
Nadim menarik nafas panjang. Perlahan-lahan dilepaskan. Ada beberapa seketika, Nadim memejam-mejamkan mata, bingkas, mendonggakan kepala, lalu memandang Sultan.

Nadim
Tuanku, apa yang patik ungkapkan ini,tentang cinta, satu bicara kecil tentangnya. Bukanlah satu-satu omong besar, tiada cukup ilmu yang diungkap, digarap. Tentang cinta; luas benar tafsirannya, seluas konteks kefahamannya. Buat insan-insan yang mengerti, memahami; benar cinta mutlak, cinta abadi itu pada Al-Khaliq, atas cinta itu sendiri datang daripada Nya. Apa yang diungkap ini, mungkin lebihnya pada cinta fitrah; satu anugerah. Sukar benar untuk mendefinisikan; memang pun tiada satu perkataan yang tepat. Tiap individu itu punya persepsi, punya interpretasi. Biar itu, tiada yang menafikan, cinta itu satu perasaan. Sebagaimana firman Allah dalam Surah Ar Rum, ayat 21 (membacakan ayat tersebut ):- Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. Tuanku, cinta itu diberi atas rela, bukan diminta dengan paksa. Satu perasaan yang halus, lahir tatkala hati berasa tenang dan senang dengan seseorang itu.

Sultan
(Mengangguk kepala)Beta mengerti. Teruskan Nadim.

Laksamana
Nadim, bagaimana pula dengan suka dan sayang. Jua itu cinta?

Nadim
Tidak Laksamana. Seperti tiga itu serupa bukan? Cukuplah, suka itu sekadar perasaan, sayang itu satu penghargaan dan cinta itu,bersama tanggungjawab. Suka itu, jua senang dan selesa kita terhadapnya, sekadar itu sahaja. Sayang pula, sentiasa kita doakan, dia selamat dan bahagia juga sekadar itu; tidak pula beerti kita ingin memilikinya. Dan sudah tentu, dalam cinta itu, ada suka dan sudah tentu dengan sayang. Bersama itu, teringin benar menjadi pemilik dan berdamping sentiasa. Suka itu, belum tentu sayang, dan sayang itu belum jua pasti cinta, Laksamana. Akan tetapi, andai sudah cinta itu, tiada lagi ragu tentang sayang, dan suka.

Laksamana
Begitu ya, Nadim (Tersengih).

Nadim
Mari, patik mulakan. (Menarik nafas panjang, perlahan-lahan dilepaskan). Tentangnya, cinta itu suci, mahal nilainya dan tinggi tarafnya. Atas satu, cinta itu wujud sejak kita, manusia itu dilahirkan. Rasa itu, sedia wujud dalam diri dan jiwa insan. Cinta-cinta kepada Allah, Rasulnya, Ibu bapanya, jua insan-insan. Meski, wujud cinta, tidak akan bisa dilihat dek mata, tetapi dirasa dek hati. Dan sesuci dan semurni cinta itu, adalah cinta sejati. Jua, dalam cinta itu, hadir tatkala sesuatu jiwa itu bersedia. Maha Suci Allah, begitu agung kebijaksanaanNya; dengan izinNya, seandainya tiba masa seseorang hamba itu untuk cinta, juga dia bersedia atas cinta itu; meski permulaannya jiwa insan sekadar untuk cinta, lambat laun, hadir suatu keinginan untuk berkongsi satu rasa kewujudan dan kesalingan bersama serta rasa mengashi dan dikasihi. Akan tiba, pada masa itu, sedia jiwa itu untuk setia dan saling memahami; setia menggalas tanggungjawab atas cinta. Reda atas yang dikasihi, jua bersedia untuk berkompromi kerna ikatan itu dalam dua pihak; yang mencinta dan dicintai.(Jeda)

Sultan
Nadim, apakah indah cinta itu; jua khabarkan pada beta, benarkah atas cinta, ada ‘penaklukan’? (Tersenyum)

Nadim
Meski atas wujud cinta itu, tidak dapat dilihat, tetap-tetap cantik dan indah. Indah cantiknya tulen; tidak bertopeng. Bahkan suci dan tulus; suci dan bersih. (Jeda) Mungkin benar tuanku, tentang “penaklukan” itu. Pada patik, dalam cinta itu, ada sifatnya ingin menguasai; benar-benar insan itu untuk dirinya. Apatah mungkin berkongsi. Atas penaklukan yang menuntut untuk mencintai dan dicintai. Meski, tatkala menakluki itu ingin jua ditakluki. Tuanku, mudah kata, ingin memiliki dan dimiliki.

Laksamana
Ya Nadim; cinta juga hidup.(Menyambut sambil tersenyum) Laksana pepohon; boleh cinta berputik lalu mekar, jua boleh layu dan gugur. Jua suci cinta itu. Sucinya, bukan tidak mengharapkan balasan. Suci itu atas tiada noda; jua tiada dosa. Itu fitrahnya cinta; suci ibaratnya kain putih. Pada yang mengerti kesucian cinta itu, pasti tekad kekalkan suci itu; yakni menahan dan menjauhkan cinta itu daripada nafsu yang tidak berbatas. Tercemar suci cinta itu dek nafsu, maka bercinta biar atas syariat; tidak bertunjangkan hati dan perasaan semata. Bercinta itu, umpana mengembara; perlu bimbingan dan panduan, agar tidak sesat dan tiba ke destinasi selamat.

Nadim
Benar Laksamana; pada patik , bukan sekadar indah cinta itu, jua mempersona. Tidak cinta itu nakal, pesona itu atas suci dan bersih. Ibaratnya kita melihat pada seorang anak yang comel lagi bersih. Anak itu tersenyum lalu mendekati. Pesona kita atasnya, bukan sekadar kecomelan itu; bahkan anak itu insan suci daripada dosa. Meski, atas sifat pesona ini, sering manusia alpa, terleka, lantas tersalah langkah. Apa saja tingkah kekasih, terlalu mempersona dan kelihatan cantik, betul meski itu satu dosa yang menodai cinta itu sendiri. Atas pesona ini, seseorang yang bijaksana pun bisa menjadi bodoh. Maka, berhati dan berpada dengan pesona cinta; meski indah, tetap berbisa.

Sultan
Menarik sekali ya, Nadim, Laksamana. Tatkala hari sudah lewat, mari, khabarkan pada beta, apakah bukti cinta itu?

Laksamana
Ya, mari akhiri diskusi ini; patik ingin berangkat, ada urusan di utara.

Nadim
Seindah kata, cinta itu perlukan bukti; mungkin kata kebanyakan bukti cinta itu menyerahkan seluruh jiwa raga. Adakah begitu? Fikir-fikir dan renung-renung. Cinta sejati tidak akan mungkin memusnahkan; apatah lagi merosakkan. Ada pun cinta itu menjaga diri agar terus tetap suci atas suci cinta itu. Benar cinta perlukan pengorbanan; pengorbanan itu bukan harga diri. Cinta sejati itu menjadikan kita lebih berharga; bukan lebih terhina. Seandainya cinta atas bersyarat, apa gunanya? Jika tiap janji tidak lagi tertunai, maka cinta itu akan tamat. Bukti cinta itu pada diri dan hati. Kesetiaan dan kesanggupan yang tiada tanding; jua satu kerelaan untuk menerima seseorang itu, cukup atas adanya .Akhir pesan daripada patik, cinta itu mengambil masa; tatkala memberi jua menerima. Cinta itu percaya, kepada seseorang. Cinta itu tatkala bersama mengharungi pahit maung hidup jua menikmati manis peristiwa. Cinta sentiasa memaafkan; takkan pernah mementingkan diri. Cinta memerlukan komitmen, tatkala mencari kegembiraan dan pengisian hidup bersama. Cinta itu satu perjalanan yang tetap, malar; untuk memahami keperluan masing-masing. Sekian, Tuanku; moga apa yang patik sampaikan bisa dierti juga difahami. Moga tiap patah bisa menyingkap seribu makna; tidak sia-sia. Tiap yang baik itu datang daripada Allah, segala buruk itu kesalahan patik sendiri.

Sultan
Terima kasih Nadim, beta jua harap begitu. Moga sedikit ilmu ini bisa terangi kegelapan. Mungkin sampai sini saja, barangkali, diskusi ini. Laksamana ada urusan bukan? Moga selamat dan selesai hendaknya.

Laksamana
Terima kasih tuanku.

Sultan
Dan Nadim, adakah mungkin Nadim akan berangkat lagi?

Nadim
Atas izin Allah, mungkin patik berada di Tanah Kayangan ini untuk satu purnama; ingin patik meneruskan kembara. Mememugut hikmah di bumi Allah. Tuanku, patik pohon undur diri; moga kita bersua lagi.

Sultan
Ya nadim, moga selamat hendaknya. Tetap pesan beta, tentang hati, tentang cinta; kerja TUHAN, siapa tahu.

Nadim
(Tersenyum)Untuk yang memahami.

Nadim usai dari Balairung Istana.

Ini khabarnya dalam pentas mimpi.
22/10/2007 1:57

Nyayian Rindu (ii)

Khamis, 4 Oktober 2007

nukilan untuk kenangan; insyaAllah harapan.


Dan lagi, simfoni bergema; kau dengar?
Terngiang dek gunung; ibarat terus-terus mendendangkan.
dan terus-terus dilagukan.

Dan bila, rindu ini; masih milikmu.

Rindu ini; bukan lagi rindu biasa.

Ini rindu aku;
bukan pada molek rupa,
tapi atas indah jiwa.

Ini rindu aku;
bukan pada manis bicara,
tapi ikhlas kata-kata.

Ini rindu aku;
bukan atas gopoh;terburu,
tapi dengan cermat; memburu.

Ini rindu aku;
tidak atas pesona wajah,
tapi satu kejujuran hati.

Ini rindu aku;
pada si degil.
Atas tiap kata; penuh makna.

Ini rindu aku;
pada yang istimewa.
Atas tiap fikir; terlalu memahami.

Rindu ini; bukan rindu biasa lagi.
Simfoni ini, kau dengar?

Jua, tetap-tetap sayup.
Nyayian tatkala hujan menanti-nanti mentari dan pelangi.
dan bila rindu ini, masih milikmu.

-untuk yg memahami-

Thursday, October 04, 2007 4:25 AM
(Kolej Kediaman Cemara Akasia)
iQ
SiLeNt 1412