Ahlan wa sahlan

Assalamualaikum!

Selamat datang,
selamat singgah dan menjengah;
moga daripada secebis waktu, bermanfaat untuk semua!

Kisah Sahabat(ii)

Jumaat, 29 Jun 2007

Kisah Sahabat(ii)

Dan satu kisah, biar segala yang berlalu itu pergi bersama mimpi. Apa yang dibawa, cukup sekadar kenangan. Ini kisah kecil. Kecil saja, bukan satu maha karya agung sasterawan negara. Kisah sahabat saya. Sahabat yang benar setianya, benar kasihnya. Ada masa yang terisi bersama beliau, cukup bermakna. Entah, apa yang buat saya benar-benar terpikat bersama beliau. Seorang lelaki terluka. Mungkin itu buat sahabat adakala tersenyum kecil, lesu. Pesan beliau, “Hargai senyum mu yang manis itu, mungkin senyum itu menceriakan hari seseorang”.
Sahabat bukan tidak mahu tersenyum, kata beliau, tidak lagi mampu seperti dulu senyumannya. Saya masih ingat lagi, ketika itu sahabat dalam senyuman, senang dan tenang. Dan atas segala apa yang berlalu, senyuman itu saya rindui. Dalam kenangan, segala peristiwa cukup pahit ditelan, dalam pahit, manis jua tatkala dikenang-kenang. Entah, itu lumrah barangkali. Hikmah Allah. Hidup mengajar kehidupan lembut, dengan cara tersendiri. Sahabat saya temui, benar, bagi saya, satu takdir. Allah menemukan saya dengan beliau, bukan sekadar pertemuan biasa.

Pesan sahabat, kelukaan itu memanusiakan manusia. Termanggu juga saya untuk menjamah hikmah itu, beliau sekadar tersenyum. Kisah sahabat, seorang lelaki terluka; berduka. Sahabat seorang lelaki biasa, lelaki biasa-biasa. Siapa sangka, dalam senyuman tabah beliau, ada tangisan. Lama jua untuk saya tanyakan atas tangisan itu, kenapa dan mengapa. Jawab sahabat tenang, “Ujian, ada hikmah besar, ada ilmu untuk digali, difahami dan hayati. Aturan TUHAN.” Saya menangguk kecil, tanda faham biar pusing kepala menafsir butiran mutiara itu. Sahabat seorang perahsia, benar, susah untuk menterjemah beliau. Dalam apa yang dizahirkan, ada sesuatu tersembunyi, dalam apa yang disembunyikan, ada sesuatu terzahir.

Satu petang, biar seperti petang-petang lain, tatkala mentari melabuh tirai, sahabat berkisah. Kisah seorang puteri. Seorang puteri. Entah, tatkala sahabat berkisah, terdiam saya. Sekadar menangguk tanda faham, kisah puteri itu berlalu. Kisah itu, pada saya tiada yang istimewa, sekadar seorang puteri, seperti puteri-puteri lain. Ini kisahnya, sahabat seorang perantau, dan dalam salah satu destinasi beliau, ada suatu negeri, singgah beliau dalam satu perkampungan ilmu. Dan jejak-jejak itu, bersua sahabat dengan seorang puteri. Juga puteri seorang gadis biasa. Sekadar yang biasa, tidak terlampau-lampau indahnya, sehingga tiada tanding. Juga puteri sekadar kebanyakan. Tidak puteri daripada keturunan Si Guntang, apatah lagi berdarah kayangan.

Sahabat pada ketika tersesat. Di perkampungan ilmu itu kadang kala buat sahabat betul-betul penat. Dalam penat dan sesat, sahabat terkesan kelibat puteri, manis senyumnya, menenangkan. Bicara puteri benar menggamit. Rindu. Ada tawa, ada senyum. Entah, bagaimana dalam satu pertemuan biasa juga, mereka berkenalan. Kenakalan masing-masing membibitkan ikatan silaturahim, dua jiwa yang berbeza diikat oleh tali persahabatan. Kerja TUHAN, siapa tahu. Dalam reda dan rahmatNya, ada pun sahabat tertanya, entah hikmah ada sebuah pertemuan itu. Sebuah pertemuan, segalanya bermula. Sebuah pertemuan, benar tersingkap hikmah TUHAN.

Dan kita berhenti sejenak. Ini sekadar kisah biasa. Kisah yang biasa-biasa, untuk dijamah dan dikunyah pada sesiapa yang mahu mengerti. Untuk yang memahami. Kata sahabat, benar kisah ini, adalah pada saya untuk mentafsir, pada anda untuk memikir. Kata sahabat, ada pun segala berlaku itu, ada kala, beliau sendiri dalam ingatan yang kurang jelas. Barangkali, ujar sahabat, terlalu beliau untuk melupakan segala yang berlaku. Cukup sudah, kenapa dikenang kenangan. Tingkah saya, kenapa berkisah andai yang berlalu itu, biar ditelan masa. Tersenyum lagi sahabat, “Cukup kita menanggung tangis, moga sahabat dalam bahagia”. Sudah itu takdir, yang berlalu biar berlalu.

Puteri, ungkap sahabat, sekadar kebanyakan. Juga menetap seketika di perkampungan ilmu itu, menitip dan mengutip bekalan untuk terus melangkah, menjejak. Dalam perkampungan ilmu kecil itu, banyak kisah, banyak ragam. Segala itu ilmu, pada sesiapa yang sedar, sanggup bersusah untuk menimba. Ada pun persahabatan terjalin, masing-masing mengejar cita. Jauh perjalanan, ada lagi kota-kota ilmu yang menjadi destinasi seterusnya. Sebelum melangkah, di perkampungan kecil itu tempat tentu destinasi. Sahabat berkisah lagi tentang puteri. Dalam tiap ungkap bicara, saya harap dapat bersua dengan puteri suatu hari nanti.
Dan saya perlu ingatkan, ini kisah persahabatan. Bukan kisah cinta. Maaf pada siapa yang salah fahamnya. Persahabatan seorang perantau dengan seorang puteri, cukup sekadar kisah yang remeh. Saya akui, memang kisah kecil dan remeh. Ramai lagi punya kisah hebat, kisah besar. Bagi saya, biar kecil kisah, tapi penuh hikmah. Biar satu kata seribu makna, daripada seribu kata satu makna. Satu permata hikmah, untuk yang sudi menjamah. Ya, ini kisah persahabatan, bukan tinta kisah cinta agung, sedang mana, ujar sahabat, layak beliau menitip cinta.

Tererat persahabatan sahabat dengan puteri, bukanlah di perkampungan itu. Di sana, sekadar bertemu, bersua, menjalin kenangan. Benar. Kata sahabat, “Dalam setiap pertemuan, bukan semua ada ikatan, ada yang ditakdirkan sekadar berkenal-kenalan, ada jua menjadi rakan dan taulan, ada mungkin sahabat dan teman. Bukan kita angkuh memilih; Cuma belum tentu berkawan dengan siapa-siapa kita inginkan, tetapi terjalin ikatan dengan siapa-siapa kita ditakdirkan.” Cepat masa berlalu, melangkah lagi sahabat dan puteri kembali ke halaman masing-masing. Dalam kejauhan, ada pesan-pesanan. Atas pesan-pesanan, mereka terus berhubung mengukuh ukhwah. Dan masa-masa yang berlalu mengeratkan ikatan.
Gadis yang periang, ungkap sahabat, banyak mengajar beliau. Satu per satu sahabat menitip, untaian ilmu daripada puteri. Tatkala jarak dan tempat memisahkan, puteri selalu berpesan,“ Teman, andai sayang ini atas bicara tutur, ketahuilah, mungkin hamba bisa menyakiti mu atasnya; dan andai sayang atas peribadi hamba, sedarlah, tiadalah hamba ini sempurna; jua andai sayang ini kerna selalu bersua, bersama, mengertilah, akan suatu hari, pergi jua hamba. Atas yang demikian, kasihi dan sayang hamba, oleh hamba itu teman mu; terimalah yang ada itu seadanya, tatkala buruk, baiknya diri hamba. Moga bersama kita bertaut, bernaung dalam redaNya; moga ukhuwah terjalin ini kekal hingga syurga hendakNya, teman.” Tersenyum sahabat, benar pada patah-patah kata itu, menggoncang sukma.

Kata sahabat, sejak mereka meniti haluan daripada perkampungan ilmu itu, tiada sahabat dan puteri bertemu lagi. Tiada ruang dan luang, tiada kesempatan dan lapang. Ada pada suatu ketika, dalam jejak-jejak sahabat, singgah sebentar sahabat di kota ilmu puteri. Mungkin takdir buat sahabat terlangkah disitu, jua bukan dalam perancangannya. Dengan segala syukur, bersua dua sahabat yang lama terpisah, masing-masing melepas rindu. Sahabat rindu benar, benar-benar rindu akan puteri. Sayang, pertemuan semula itu sekadar beberapa detik cuma. Cepat terasa masa berlari berlalu. Belum sempat sahabat merungkai kata pada puteri, perjalanan perlu beliau jejak. Terpisah kembali. Lumrah pertemuan itu, ada perpisahan yang menggamit.

Sahabat selalu berdoa, agar perpisahan tidak buat selamanya, cukup sekadar sekejap, menjadi ujian meneguh keyakinan. Sekadar hamba, pada Allah sahabat titisan air mata, membawa dendam, harapan dan kenangan. Siapa tahu, indah takdir TUHAN, dan masa-masa terus bergerak, buat sahabat ada kala dalam mimpi. Mimpikan sesuatu yang tidak mampu beliau impikan. Pergembaraan sahabat, benar-benar menuntut pengorbanan. Biar tatkala impian tercapai, segala pengorbanan itu terlalu kecil dikenang, biar amat perit tatkala mengorbankannya. Juga dalam pengorbanan, ada jua kehilangan. Bukan dipinta, tetapi itu yang terpaksa diberi untuk terus berjuang.

Puteri berpesan pada sahabat, “Ddalam tiap-tiap perhubungan itu, ada pihak-pihak memberi, tatkala penerima. Usah terlalu-lalu memberi sehingga tiada apa lagi untuk diberi, usah jua terlalu-lalu menerima sehingga terlampau banyak yang ada.Ya, bertolak ansur. Moga itu, ada satu keharmonian yang dianyam; tatkala manis mengecap hubungan. Memahami dan mengerti. Tiap insan istimewa, punya dunia sendiri. Punya hasrat sendiri, punya tafsiran sendiri. Juga kita hidup, berhubung sesama insan; tidakkah sunyi Adam dalam syurga TUHAN, tanpa Hawa menjadi teman? Dan tiap hubungan, bukan hanya termaktub pada laki-laki dengan perempuan, jua pada sahabat, dan sesama insan. Tidakkah kita dijadikan daripada suku-suku dan bangsa-bangsa berbeza oleh Allah, untuk saling mengenal dan belajar? Atas interaksi itu perlu kita berkompromi, menerima dan memberi.”

“Benar apa yang diungkap puteri,sahut sahabat. Lalu meningkah, “manusia itu bermacam jenis dan sifatnya, beraneka ragam dan gayanya. Meski ada interaksi kompromi, kita mesti berawas, kerna pesan orang tua-tua, rambut sama hitam, hati lain-lain. Kita hanya manusia, tidak akan mampu menduga apa yang diminda insan lain; sama ada baik atau buruk, hanya Allah saja yang Maha Mengetahui. Setiap daripada kita punya ambisi dan misi bukan? Meski itu adakala menentu tindak dan laku; maka berhati-hati atas segala gerak gaya kita,puteri. Terkadang itu kita lupa, terkadang kita menjejak-jejak leka. Dalam memberi itu, hendaklah jua berpada;berbatas. Jangan terlalu-lalu memberi sehingga mana tiada apa lagi yang mampu diberi; jua beringat tatkala menerima. Jangan jua terasyik menerima , sehingga lupa tanggungjawab membalas. Dalam setiap tindak itu, mesti ada keadilan; meski harus menang-menang bagi dua pihak, andai tidak, segalanya akan sia-sia.” Tatkala itu, masing-masing tersenyum.

Juga, kali ini kita berjeda seketika. Meski saya berkisah, atas sedikit kisah beliau. Maaf jua, andai tidak jelas akan dimana dan siapa; kerna itu yang sahabat kisahkan, dan itu jua saya coretkan; sebagaimana anda telah maklum, sahabat ini seorang perahsia. Jenuh juga saya menitip dengan biacara-bicara beliau, meski beliau berbicara, mulut saya ibarat terkunci; minda ibarat kaku untuk menyoal; sekadar mampu mendengar, memahami. Dan maaf, tatkala pertemuan dengan sahabat semalam; cukup sini sahaja restu beliau. Kata sahabat, “Meski tiap hikmah itu, hayati dan fahami satu persatu, jangan pula terlalu-lalu tamak; hargai apa yang ada. Cukup sampai sini.” Mari saya tangguhkan kisah ini, insyaAllah, andai punya ruang dan waktu, saya akan kisahkan lagi; tentang sahabat dan puteri.

-untuk yg memahami-

aku hanya hambaMu

Rabu, 13 Jun 2007

meski, aku hambaNya.
kerap seringkali aku terleka.
jua alpa dek indah manisnya dunia.

meski, aku khalifahNya.
ada kala aku terlupa.
dan lalai atas kilauan fatamorgana.

yaALLAH,
meski, tangan2ku;
penuh noda-noda hitam;
tamsilan lumpur busuk.
ampuni daku,
wahai TUHAN yang SATU.
yg MAHA PEMURAH lagi MAHA PENYAYANG.
yg MAHA PEMAAF lagi MAHA PENGAMPUN;
kerna aku, hanya hambaMU.

kau tahu bukan?

(p/s- comment kepada sajak "dalam makam diri" oleh muhammad teja)

memang, segala itu;
kau tahu bukan?

dalam sepi,
sunyi itu mengajar;
kehidupan bukan sekadar,
hilai tawa kosong.
yang perlu kita jelas,
meski ada kabus-kabus.

kehidupan bukan sekadar,
sayu sendu hampa.
yang perlu kita harung,
meski penuh ranjau-ranjau.

dan mutiara-mutiara ini,
bukan sekadar dekorasi.
ingat,
tugas kita menyelam;
dek dasar-dasar lautan sepi.
memerhati dan memahami,
tiap indah kilau sinarnya!

-untuk yg memahami-
Nadim Muhammad
13 Jun 2007, 5.02PM
Rumahku, Syurgaku.

bukan milikku

Isnin, 4 Jun 2007

Tuhan,
andai dia bukan jodohku,
bukan milikku,
lapang2kan hatiku dan hatinya,
tatkala kami meniti usia.
moga aku reda dalam aturanMu.
moga dia bahagia dalam ketentuanMu.
dan aku tunggu, bidadariku.
-utk yg memahami-
4 june 2007, 3.36PM