Ahlan wa sahlan

Assalamualaikum!

Selamat datang,
selamat singgah dan menjengah;
moga daripada secebis waktu, bermanfaat untuk semua!

Mimpi Nadim(ii)-Tentang Cinta

Selasa, 23 Oktober 2007




WATAK-WATAK
Nadim Muhammad
Sultan
Laksamana

Ini khabarnya dalam pentas mimpi.

Katanya, tika itu sekitar penghujung kurun ke-15.

Tatkala genap beberapa purnama merantau, kembali Nadim ke tanah Kayangan. Dan apabila perkhabaran tiba di istana, terus-terus dititahkan Sultan untuk mengadap.
Perkarangan Balairung, Istana Kayangan.

(Nadim melangkah masuk, tiap langkah disusun kemas, lantas menjunjung sembah)

Nadim
Ampun tuanku, sembah patik harap diampun. Patik, Nadim, mengadap.

Sultan
(Tersenyum) Nadim, selamat pulang ke tanah ini. Lama benar jua tidak kita bersua, sejak Nadim merantau, bukan?

Nadim
Agaknya, begitu lebih kurangnya Tuanku. Meski, terkadang itu, terasa patik; masa itu cepat-cepat berlalu, akan pada suatu tika, panjang benar. Lumrah Tuanku.

Sultan
Alhamdulillah, meski, tiba jua Nadim disini. Tujuan beta memanggil Nadim, bukan-bukan sekadar membuang masa, maaf andai tidak Nadim sempat cukup rehatnya. Khabarnya, dalam perjalanan Nadim itu, banyak hikmah yang diperoleh; beta harap sedikit sebanyak, berkongsi dengan beta, dengan sekalian rakyat.

Nadim
InsyaAllah Tuanku, patik berbesar hati. Memang, pesan orang dahulu itu benar, jauh perjalanan, banyak pengalaman. Entahlah Tuanku, sedang patik ini sekadar berkongsi yang termampu. Apa tentangnya Tuanku?

Sultan
Khabarkan pada beta, dalam perjalanan itu, tentang cinta. Tentang-tentang cinta.

Nadim
Tuanku?. (Terkesima)

Sultan
(Tatkala melihat air muka Nadim berubah )Benar Nadim, meski beta tahu, Nadim itu perantau terluka. Kehilangan itu, anggap sebagai ujian. Atas bukan niat beta untuk mengungkit; biar yang berlalu itu, terus-terus berlalu. Hari ini, sekadar sembang-sembang barangkali. Beta harap, meski sembang biar terisi dan berisi. Nadim, benar, kelukaan itu tidak dipinta, akan itu, renung-renungkan hikmah disebaliknya. Kerja Tuhan, siapa tahu.

Nadim
Patik mengerti, ya, meski lagi yang masih sakit, yang luka itu ada. Parut-parut itu, jua menitis-nitis lagi darahnya. Tiap sakit dan luka itu, sudah lama patik reda atasnya; sudah lama patik fahami, atas setiap itu, menagih kesabaran begitu jua pengorbanan. Tuanku, meski yang berlalu itu terus; tetap-tetap patik kenang. Dalam kesedihan itu, ada juga kemanisan, hikmah-hikmah yang bisa patik takfsirkan, yang bisa patik fahami dan mengerti. Patik yakin, dengan kekuasaan Allah, tuhan yang menguasi alam; ada jua rahmat yang tak bisa patik fikirkan. Begitu indah aturanNya, Tuanku. (Kembali tenang )

Laksamana
(Mencelah) Maka, apa lagi dinantikan Nadim, khabarkan bersama, tentang cinta itu.

Nadim
Bawa bersabar Tuan Laksamana. Tidak lari gunung dikejar. Meski, tetap langit yang kita junjung. Mari, patik kisahkan, sekadar atas khilaf patik. Andai salah, jua silap; sama-sama kita belajar.Jeda.
Nadim menarik nafas panjang. Perlahan-lahan dilepaskan. Ada beberapa seketika, Nadim memejam-mejamkan mata, bingkas, mendonggakan kepala, lalu memandang Sultan.

Nadim
Tuanku, apa yang patik ungkapkan ini,tentang cinta, satu bicara kecil tentangnya. Bukanlah satu-satu omong besar, tiada cukup ilmu yang diungkap, digarap. Tentang cinta; luas benar tafsirannya, seluas konteks kefahamannya. Buat insan-insan yang mengerti, memahami; benar cinta mutlak, cinta abadi itu pada Al-Khaliq, atas cinta itu sendiri datang daripada Nya. Apa yang diungkap ini, mungkin lebihnya pada cinta fitrah; satu anugerah. Sukar benar untuk mendefinisikan; memang pun tiada satu perkataan yang tepat. Tiap individu itu punya persepsi, punya interpretasi. Biar itu, tiada yang menafikan, cinta itu satu perasaan. Sebagaimana firman Allah dalam Surah Ar Rum, ayat 21 (membacakan ayat tersebut ):- Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. Tuanku, cinta itu diberi atas rela, bukan diminta dengan paksa. Satu perasaan yang halus, lahir tatkala hati berasa tenang dan senang dengan seseorang itu.

Sultan
(Mengangguk kepala)Beta mengerti. Teruskan Nadim.

Laksamana
Nadim, bagaimana pula dengan suka dan sayang. Jua itu cinta?

Nadim
Tidak Laksamana. Seperti tiga itu serupa bukan? Cukuplah, suka itu sekadar perasaan, sayang itu satu penghargaan dan cinta itu,bersama tanggungjawab. Suka itu, jua senang dan selesa kita terhadapnya, sekadar itu sahaja. Sayang pula, sentiasa kita doakan, dia selamat dan bahagia juga sekadar itu; tidak pula beerti kita ingin memilikinya. Dan sudah tentu, dalam cinta itu, ada suka dan sudah tentu dengan sayang. Bersama itu, teringin benar menjadi pemilik dan berdamping sentiasa. Suka itu, belum tentu sayang, dan sayang itu belum jua pasti cinta, Laksamana. Akan tetapi, andai sudah cinta itu, tiada lagi ragu tentang sayang, dan suka.

Laksamana
Begitu ya, Nadim (Tersengih).

Nadim
Mari, patik mulakan. (Menarik nafas panjang, perlahan-lahan dilepaskan). Tentangnya, cinta itu suci, mahal nilainya dan tinggi tarafnya. Atas satu, cinta itu wujud sejak kita, manusia itu dilahirkan. Rasa itu, sedia wujud dalam diri dan jiwa insan. Cinta-cinta kepada Allah, Rasulnya, Ibu bapanya, jua insan-insan. Meski, wujud cinta, tidak akan bisa dilihat dek mata, tetapi dirasa dek hati. Dan sesuci dan semurni cinta itu, adalah cinta sejati. Jua, dalam cinta itu, hadir tatkala sesuatu jiwa itu bersedia. Maha Suci Allah, begitu agung kebijaksanaanNya; dengan izinNya, seandainya tiba masa seseorang hamba itu untuk cinta, juga dia bersedia atas cinta itu; meski permulaannya jiwa insan sekadar untuk cinta, lambat laun, hadir suatu keinginan untuk berkongsi satu rasa kewujudan dan kesalingan bersama serta rasa mengashi dan dikasihi. Akan tiba, pada masa itu, sedia jiwa itu untuk setia dan saling memahami; setia menggalas tanggungjawab atas cinta. Reda atas yang dikasihi, jua bersedia untuk berkompromi kerna ikatan itu dalam dua pihak; yang mencinta dan dicintai.(Jeda)

Sultan
Nadim, apakah indah cinta itu; jua khabarkan pada beta, benarkah atas cinta, ada ‘penaklukan’? (Tersenyum)

Nadim
Meski atas wujud cinta itu, tidak dapat dilihat, tetap-tetap cantik dan indah. Indah cantiknya tulen; tidak bertopeng. Bahkan suci dan tulus; suci dan bersih. (Jeda) Mungkin benar tuanku, tentang “penaklukan” itu. Pada patik, dalam cinta itu, ada sifatnya ingin menguasai; benar-benar insan itu untuk dirinya. Apatah mungkin berkongsi. Atas penaklukan yang menuntut untuk mencintai dan dicintai. Meski, tatkala menakluki itu ingin jua ditakluki. Tuanku, mudah kata, ingin memiliki dan dimiliki.

Laksamana
Ya Nadim; cinta juga hidup.(Menyambut sambil tersenyum) Laksana pepohon; boleh cinta berputik lalu mekar, jua boleh layu dan gugur. Jua suci cinta itu. Sucinya, bukan tidak mengharapkan balasan. Suci itu atas tiada noda; jua tiada dosa. Itu fitrahnya cinta; suci ibaratnya kain putih. Pada yang mengerti kesucian cinta itu, pasti tekad kekalkan suci itu; yakni menahan dan menjauhkan cinta itu daripada nafsu yang tidak berbatas. Tercemar suci cinta itu dek nafsu, maka bercinta biar atas syariat; tidak bertunjangkan hati dan perasaan semata. Bercinta itu, umpana mengembara; perlu bimbingan dan panduan, agar tidak sesat dan tiba ke destinasi selamat.

Nadim
Benar Laksamana; pada patik , bukan sekadar indah cinta itu, jua mempersona. Tidak cinta itu nakal, pesona itu atas suci dan bersih. Ibaratnya kita melihat pada seorang anak yang comel lagi bersih. Anak itu tersenyum lalu mendekati. Pesona kita atasnya, bukan sekadar kecomelan itu; bahkan anak itu insan suci daripada dosa. Meski, atas sifat pesona ini, sering manusia alpa, terleka, lantas tersalah langkah. Apa saja tingkah kekasih, terlalu mempersona dan kelihatan cantik, betul meski itu satu dosa yang menodai cinta itu sendiri. Atas pesona ini, seseorang yang bijaksana pun bisa menjadi bodoh. Maka, berhati dan berpada dengan pesona cinta; meski indah, tetap berbisa.

Sultan
Menarik sekali ya, Nadim, Laksamana. Tatkala hari sudah lewat, mari, khabarkan pada beta, apakah bukti cinta itu?

Laksamana
Ya, mari akhiri diskusi ini; patik ingin berangkat, ada urusan di utara.

Nadim
Seindah kata, cinta itu perlukan bukti; mungkin kata kebanyakan bukti cinta itu menyerahkan seluruh jiwa raga. Adakah begitu? Fikir-fikir dan renung-renung. Cinta sejati tidak akan mungkin memusnahkan; apatah lagi merosakkan. Ada pun cinta itu menjaga diri agar terus tetap suci atas suci cinta itu. Benar cinta perlukan pengorbanan; pengorbanan itu bukan harga diri. Cinta sejati itu menjadikan kita lebih berharga; bukan lebih terhina. Seandainya cinta atas bersyarat, apa gunanya? Jika tiap janji tidak lagi tertunai, maka cinta itu akan tamat. Bukti cinta itu pada diri dan hati. Kesetiaan dan kesanggupan yang tiada tanding; jua satu kerelaan untuk menerima seseorang itu, cukup atas adanya .Akhir pesan daripada patik, cinta itu mengambil masa; tatkala memberi jua menerima. Cinta itu percaya, kepada seseorang. Cinta itu tatkala bersama mengharungi pahit maung hidup jua menikmati manis peristiwa. Cinta sentiasa memaafkan; takkan pernah mementingkan diri. Cinta memerlukan komitmen, tatkala mencari kegembiraan dan pengisian hidup bersama. Cinta itu satu perjalanan yang tetap, malar; untuk memahami keperluan masing-masing. Sekian, Tuanku; moga apa yang patik sampaikan bisa dierti juga difahami. Moga tiap patah bisa menyingkap seribu makna; tidak sia-sia. Tiap yang baik itu datang daripada Allah, segala buruk itu kesalahan patik sendiri.

Sultan
Terima kasih Nadim, beta jua harap begitu. Moga sedikit ilmu ini bisa terangi kegelapan. Mungkin sampai sini saja, barangkali, diskusi ini. Laksamana ada urusan bukan? Moga selamat dan selesai hendaknya.

Laksamana
Terima kasih tuanku.

Sultan
Dan Nadim, adakah mungkin Nadim akan berangkat lagi?

Nadim
Atas izin Allah, mungkin patik berada di Tanah Kayangan ini untuk satu purnama; ingin patik meneruskan kembara. Mememugut hikmah di bumi Allah. Tuanku, patik pohon undur diri; moga kita bersua lagi.

Sultan
Ya nadim, moga selamat hendaknya. Tetap pesan beta, tentang hati, tentang cinta; kerja TUHAN, siapa tahu.

Nadim
(Tersenyum)Untuk yang memahami.

Nadim usai dari Balairung Istana.

Ini khabarnya dalam pentas mimpi.
22/10/2007 1:57

Nyayian Rindu (ii)

Khamis, 4 Oktober 2007

nukilan untuk kenangan; insyaAllah harapan.


Dan lagi, simfoni bergema; kau dengar?
Terngiang dek gunung; ibarat terus-terus mendendangkan.
dan terus-terus dilagukan.

Dan bila, rindu ini; masih milikmu.

Rindu ini; bukan lagi rindu biasa.

Ini rindu aku;
bukan pada molek rupa,
tapi atas indah jiwa.

Ini rindu aku;
bukan pada manis bicara,
tapi ikhlas kata-kata.

Ini rindu aku;
bukan atas gopoh;terburu,
tapi dengan cermat; memburu.

Ini rindu aku;
tidak atas pesona wajah,
tapi satu kejujuran hati.

Ini rindu aku;
pada si degil.
Atas tiap kata; penuh makna.

Ini rindu aku;
pada yang istimewa.
Atas tiap fikir; terlalu memahami.

Rindu ini; bukan rindu biasa lagi.
Simfoni ini, kau dengar?

Jua, tetap-tetap sayup.
Nyayian tatkala hujan menanti-nanti mentari dan pelangi.
dan bila rindu ini, masih milikmu.

-untuk yg memahami-

Thursday, October 04, 2007 4:25 AM
(Kolej Kediaman Cemara Akasia)
iQ
SiLeNt 1412

Mimpi Nadim

Rabu, 5 September 2007


“Semalam, patik mimpikan sesuatu yang tidak bisa patik temukan”, rintih Nadim. Nadim tahu benar, akan tiba hari itu, akan tiap hari beliau menghitung, menanti.

“Kebenaran itu, pasti suatu hari terungkap”, pesan sahabat dalam suatu ketika.

Wahai sahabat, meski kau tahu, hari itu telah tiba. Nadim sudah lama bersedia, andai segala mungkin yang terjadi. Apa boleh buat, hukum alam, akan sesuatu itu ada balasan.

Semalam, mimpi Nadim lain benar, binggung juga.

Tersergam Sultan dek singgahsana; kemas pakaian baginda, penuh wibawa. Baginda bertitah, “Nadim, atas segala apa yang kau pendamkan, maka akui. Atas apa yang kau tangiskan, maka akhiri. Nadim, akan tiba detik-detik mana kebenaran itu timbul, sepertinya apungnya kayu dek air.”

Jeda. Dan baginda terus bertitah, “Andai rindu itu ada pemiliknya, maka, diserahkan pada siapa-siapa yag layak dan berhak. Nadim, sehingga hari itu, tidak dapat tidak kau pendamkan segala lagi; meski kau kunci segala bicara, tetaplah yang benar itu.”

“Patik mengerti, tuanku”, pintas Nadim.

Tatkala tersedar daripada mimpi itu, Nadim lantas gamam sejenak. Masakan Sultan terus bertitah, sedang terpisah dek jarak dan tempat. Lama benar tidak bersua.

Mimpi itu, bukan mimpi biasa, bukan sekadar mimpi.

Kisah Srikandi dari tanah Minang. Kisah Nadim dari tanah Kayangan. Siapa tahu, dek benua jauh, bertemu mereka, bersahabat.

Mungkin tentang ini Sultan ungkapkan; satu rahsia yang jenuh-jenuh Nadim simpan, moga tidak lagi berulang. Satu ceritera kecil.

Sahabat, mengertikah dikau, bahawasanya tiap-tiap detik itu, belum tentu ada senyuman. Dan tiap-tiap senyuman disebaliknya, adakah kegembiraan?. Meski kegembiraan itu hadir, maka pastikah yang gembira itu diiring ketenangan. Dan bersama ketenangan itu, tiada jaminan kebahagiaan. Sahabat, Nadim merinduimu.

Nadim Muhammad

24 August 2007

Sepi Sang Gagak

Khamis, 23 Ogos 2007


Dan tiap-tiap hari yang berlalu itu,
sang gagak tahu.
Jelas dan mengerti.

Sekadar seekor gagak; siapa kisah.

Ya, sang gagak faham benar.

Gagak sekadar biasa-biasa;
tidak seindah merak idaman,
tidak secantik angsa igauan.

Juga siulan tidak semerdu,
seiring irama tiung;
bicara madah tidak sepetah,
setanding pidato murai.

Ya, siapa kisah,
meski nanyian rindu sayup;
simfoni kenangan bergema,
gagak tetap gagak.

Dalam hujan, gagak sendiri,
berbisik membisik sayu;
sepi ini, mana akhirnya,
sunyi ini, mana hujungnya,
rindu ini, mana ubatnya,
cinta ini, mana kasihnya.

Ya, seekor gagak;
siapa kisah.
-untuk yg memahami-

Nadim Muhammad
Aug 23 2007, Thursday.
Kolej Kediaman Cemara

Permata Yang Digilap

Ahad, 29 Julai 2007

(satu catatan ingatan kem bina insan, 27-29 julai 2007, pusat latihan bina insan sg. tinggi)

Kata kakak,
“Kamu itu, ada permata; meski sinar-sinarnya malap. Maka, gilap dengan tekun dan istiqmah, moga sinar itu terang melimpahi, menyinari sekalian alam.”

Pesan abang,
“Ya, mengapa membazir masa dan tenaga sahaja disini, andai tidak ada yang kami lakukan itu ada makna-makna yang tersirat dalam-dalam yang tersurat.”

Ucap pakcik,
“Berkumpul kita, mari, sama-sama bentukkan seorang insan yang tidak-tidak hanya mengejar kebendaan semata; tetapi punya ihsan dihati.”

Dan saya pula, kem ini amat memenatkan, sangat-sangat penat. Masakan, terkejar-kejar dengan segala macam sibuk, juga mengejar akademik yang sedikit tertinggal. Juga dipesan; tatkala pulang, jadilah seorang insan, bukan sekadar manusia semata-mata. Jadilah pemimpin yang memahami dan menghormati, nescaya akan difahami jua dihormati. Hargailah siapa-siapa yang kita ada, meski andai nanti; bila kehilangannya, tidak-tidak kita terlalu menyesali.

Dan maka tuntutlah ilmu itu tanpa jemu; biar itu memang menjemukan. Dipesan atas 5 rahsia; ambisi dan visualisasi, sikap bersama keinginan yang membara, jua lengkap teknik dengan mekanisma, terus-terus tekun dan istiqmah, dan tidak munkin lupa, doa dan tawakal. Maka insyaAllah, seandai 5 rahsia ini dijamah, dikunyah, dicernakan dan diasimilasikan, maka, suatu kecermerlangan yang jauh bisa kita capai.

Mungkin cukup, sekadar ingatan yang tiada seberapa, cukup-cukup mengingatkan. Permata yang tersembunyi itu perlu digilap, terus-terus supaya terang sinarnya. Biar kilaunya menyilaukan dunia.

-untuk yg memahami-

7/29/2007 5:20 PM

Andai bisa kurangkul bulan

Ahad, 22 Julai 2007

(memorial reunion sytra 0105, 22-24 September 2007, pulau lagenda)



Tinta dari tanah tersumpah;
tatkala putih pasir dijejak.

“Andai bisa kurangkul bulan;
pada siapa akan kuhulur?

Mentari senja hangat menyinari,
atau
Pelangi petang harmonis menwarnai?

Andai bisa kurangkul bulan!”

Dan ombak terus berbisik;
sayup dari pulau lagenda.

-untuk yg memahami-

7/22/2007 9:52:04 PM

Nyanyian Rindu

Sabtu, 21 Julai 2007


Salam, juga dengan doa; moga selamat hendaknya. Ini nyanyian rindu, kau dengar? Nyanyi-nyanyi sepi tatkala hari berganti. Bukan sekadar rindu terpendam; jua kasih terdendam. Irama melankolik yang meliuk sayu, bersama-sama bayu membisik. Simfoni kenangan, benar-benar mengusik jiwa, mengoncang sukma. Terusik. Nyanyian itu terus-terus bergema, mengisi tiap ruang waktu. Mengapa mungkin, pada tiap detik, rindu ini bukan satu. Meski pada yang Esa, juga atas insan-insan yang istimewa. Ya, insan-insan. Ya, istimewa. Meski, tiada lagi yang teristimewa; tidak siapa-siapa mutlak miliknya.

Nyanyian rindu; kau dengar? Meski sayup, amati dan hayati; tafsirkan nada-nada sayu dan syahdu. Moga kau memahami, mengerti; akan tiap yang berlalu, kau hargai.

-untuk yg memahami-

Kisah Sahabat(ii)

Jumaat, 29 Jun 2007

Kisah Sahabat(ii)

Dan satu kisah, biar segala yang berlalu itu pergi bersama mimpi. Apa yang dibawa, cukup sekadar kenangan. Ini kisah kecil. Kecil saja, bukan satu maha karya agung sasterawan negara. Kisah sahabat saya. Sahabat yang benar setianya, benar kasihnya. Ada masa yang terisi bersama beliau, cukup bermakna. Entah, apa yang buat saya benar-benar terpikat bersama beliau. Seorang lelaki terluka. Mungkin itu buat sahabat adakala tersenyum kecil, lesu. Pesan beliau, “Hargai senyum mu yang manis itu, mungkin senyum itu menceriakan hari seseorang”.
Sahabat bukan tidak mahu tersenyum, kata beliau, tidak lagi mampu seperti dulu senyumannya. Saya masih ingat lagi, ketika itu sahabat dalam senyuman, senang dan tenang. Dan atas segala apa yang berlalu, senyuman itu saya rindui. Dalam kenangan, segala peristiwa cukup pahit ditelan, dalam pahit, manis jua tatkala dikenang-kenang. Entah, itu lumrah barangkali. Hikmah Allah. Hidup mengajar kehidupan lembut, dengan cara tersendiri. Sahabat saya temui, benar, bagi saya, satu takdir. Allah menemukan saya dengan beliau, bukan sekadar pertemuan biasa.

Pesan sahabat, kelukaan itu memanusiakan manusia. Termanggu juga saya untuk menjamah hikmah itu, beliau sekadar tersenyum. Kisah sahabat, seorang lelaki terluka; berduka. Sahabat seorang lelaki biasa, lelaki biasa-biasa. Siapa sangka, dalam senyuman tabah beliau, ada tangisan. Lama jua untuk saya tanyakan atas tangisan itu, kenapa dan mengapa. Jawab sahabat tenang, “Ujian, ada hikmah besar, ada ilmu untuk digali, difahami dan hayati. Aturan TUHAN.” Saya menangguk kecil, tanda faham biar pusing kepala menafsir butiran mutiara itu. Sahabat seorang perahsia, benar, susah untuk menterjemah beliau. Dalam apa yang dizahirkan, ada sesuatu tersembunyi, dalam apa yang disembunyikan, ada sesuatu terzahir.

Satu petang, biar seperti petang-petang lain, tatkala mentari melabuh tirai, sahabat berkisah. Kisah seorang puteri. Seorang puteri. Entah, tatkala sahabat berkisah, terdiam saya. Sekadar menangguk tanda faham, kisah puteri itu berlalu. Kisah itu, pada saya tiada yang istimewa, sekadar seorang puteri, seperti puteri-puteri lain. Ini kisahnya, sahabat seorang perantau, dan dalam salah satu destinasi beliau, ada suatu negeri, singgah beliau dalam satu perkampungan ilmu. Dan jejak-jejak itu, bersua sahabat dengan seorang puteri. Juga puteri seorang gadis biasa. Sekadar yang biasa, tidak terlampau-lampau indahnya, sehingga tiada tanding. Juga puteri sekadar kebanyakan. Tidak puteri daripada keturunan Si Guntang, apatah lagi berdarah kayangan.

Sahabat pada ketika tersesat. Di perkampungan ilmu itu kadang kala buat sahabat betul-betul penat. Dalam penat dan sesat, sahabat terkesan kelibat puteri, manis senyumnya, menenangkan. Bicara puteri benar menggamit. Rindu. Ada tawa, ada senyum. Entah, bagaimana dalam satu pertemuan biasa juga, mereka berkenalan. Kenakalan masing-masing membibitkan ikatan silaturahim, dua jiwa yang berbeza diikat oleh tali persahabatan. Kerja TUHAN, siapa tahu. Dalam reda dan rahmatNya, ada pun sahabat tertanya, entah hikmah ada sebuah pertemuan itu. Sebuah pertemuan, segalanya bermula. Sebuah pertemuan, benar tersingkap hikmah TUHAN.

Dan kita berhenti sejenak. Ini sekadar kisah biasa. Kisah yang biasa-biasa, untuk dijamah dan dikunyah pada sesiapa yang mahu mengerti. Untuk yang memahami. Kata sahabat, benar kisah ini, adalah pada saya untuk mentafsir, pada anda untuk memikir. Kata sahabat, ada pun segala berlaku itu, ada kala, beliau sendiri dalam ingatan yang kurang jelas. Barangkali, ujar sahabat, terlalu beliau untuk melupakan segala yang berlaku. Cukup sudah, kenapa dikenang kenangan. Tingkah saya, kenapa berkisah andai yang berlalu itu, biar ditelan masa. Tersenyum lagi sahabat, “Cukup kita menanggung tangis, moga sahabat dalam bahagia”. Sudah itu takdir, yang berlalu biar berlalu.

Puteri, ungkap sahabat, sekadar kebanyakan. Juga menetap seketika di perkampungan ilmu itu, menitip dan mengutip bekalan untuk terus melangkah, menjejak. Dalam perkampungan ilmu kecil itu, banyak kisah, banyak ragam. Segala itu ilmu, pada sesiapa yang sedar, sanggup bersusah untuk menimba. Ada pun persahabatan terjalin, masing-masing mengejar cita. Jauh perjalanan, ada lagi kota-kota ilmu yang menjadi destinasi seterusnya. Sebelum melangkah, di perkampungan kecil itu tempat tentu destinasi. Sahabat berkisah lagi tentang puteri. Dalam tiap ungkap bicara, saya harap dapat bersua dengan puteri suatu hari nanti.
Dan saya perlu ingatkan, ini kisah persahabatan. Bukan kisah cinta. Maaf pada siapa yang salah fahamnya. Persahabatan seorang perantau dengan seorang puteri, cukup sekadar kisah yang remeh. Saya akui, memang kisah kecil dan remeh. Ramai lagi punya kisah hebat, kisah besar. Bagi saya, biar kecil kisah, tapi penuh hikmah. Biar satu kata seribu makna, daripada seribu kata satu makna. Satu permata hikmah, untuk yang sudi menjamah. Ya, ini kisah persahabatan, bukan tinta kisah cinta agung, sedang mana, ujar sahabat, layak beliau menitip cinta.

Tererat persahabatan sahabat dengan puteri, bukanlah di perkampungan itu. Di sana, sekadar bertemu, bersua, menjalin kenangan. Benar. Kata sahabat, “Dalam setiap pertemuan, bukan semua ada ikatan, ada yang ditakdirkan sekadar berkenal-kenalan, ada jua menjadi rakan dan taulan, ada mungkin sahabat dan teman. Bukan kita angkuh memilih; Cuma belum tentu berkawan dengan siapa-siapa kita inginkan, tetapi terjalin ikatan dengan siapa-siapa kita ditakdirkan.” Cepat masa berlalu, melangkah lagi sahabat dan puteri kembali ke halaman masing-masing. Dalam kejauhan, ada pesan-pesanan. Atas pesan-pesanan, mereka terus berhubung mengukuh ukhwah. Dan masa-masa yang berlalu mengeratkan ikatan.
Gadis yang periang, ungkap sahabat, banyak mengajar beliau. Satu per satu sahabat menitip, untaian ilmu daripada puteri. Tatkala jarak dan tempat memisahkan, puteri selalu berpesan,“ Teman, andai sayang ini atas bicara tutur, ketahuilah, mungkin hamba bisa menyakiti mu atasnya; dan andai sayang atas peribadi hamba, sedarlah, tiadalah hamba ini sempurna; jua andai sayang ini kerna selalu bersua, bersama, mengertilah, akan suatu hari, pergi jua hamba. Atas yang demikian, kasihi dan sayang hamba, oleh hamba itu teman mu; terimalah yang ada itu seadanya, tatkala buruk, baiknya diri hamba. Moga bersama kita bertaut, bernaung dalam redaNya; moga ukhuwah terjalin ini kekal hingga syurga hendakNya, teman.” Tersenyum sahabat, benar pada patah-patah kata itu, menggoncang sukma.

Kata sahabat, sejak mereka meniti haluan daripada perkampungan ilmu itu, tiada sahabat dan puteri bertemu lagi. Tiada ruang dan luang, tiada kesempatan dan lapang. Ada pada suatu ketika, dalam jejak-jejak sahabat, singgah sebentar sahabat di kota ilmu puteri. Mungkin takdir buat sahabat terlangkah disitu, jua bukan dalam perancangannya. Dengan segala syukur, bersua dua sahabat yang lama terpisah, masing-masing melepas rindu. Sahabat rindu benar, benar-benar rindu akan puteri. Sayang, pertemuan semula itu sekadar beberapa detik cuma. Cepat terasa masa berlari berlalu. Belum sempat sahabat merungkai kata pada puteri, perjalanan perlu beliau jejak. Terpisah kembali. Lumrah pertemuan itu, ada perpisahan yang menggamit.

Sahabat selalu berdoa, agar perpisahan tidak buat selamanya, cukup sekadar sekejap, menjadi ujian meneguh keyakinan. Sekadar hamba, pada Allah sahabat titisan air mata, membawa dendam, harapan dan kenangan. Siapa tahu, indah takdir TUHAN, dan masa-masa terus bergerak, buat sahabat ada kala dalam mimpi. Mimpikan sesuatu yang tidak mampu beliau impikan. Pergembaraan sahabat, benar-benar menuntut pengorbanan. Biar tatkala impian tercapai, segala pengorbanan itu terlalu kecil dikenang, biar amat perit tatkala mengorbankannya. Juga dalam pengorbanan, ada jua kehilangan. Bukan dipinta, tetapi itu yang terpaksa diberi untuk terus berjuang.

Puteri berpesan pada sahabat, “Ddalam tiap-tiap perhubungan itu, ada pihak-pihak memberi, tatkala penerima. Usah terlalu-lalu memberi sehingga tiada apa lagi untuk diberi, usah jua terlalu-lalu menerima sehingga terlampau banyak yang ada.Ya, bertolak ansur. Moga itu, ada satu keharmonian yang dianyam; tatkala manis mengecap hubungan. Memahami dan mengerti. Tiap insan istimewa, punya dunia sendiri. Punya hasrat sendiri, punya tafsiran sendiri. Juga kita hidup, berhubung sesama insan; tidakkah sunyi Adam dalam syurga TUHAN, tanpa Hawa menjadi teman? Dan tiap hubungan, bukan hanya termaktub pada laki-laki dengan perempuan, jua pada sahabat, dan sesama insan. Tidakkah kita dijadikan daripada suku-suku dan bangsa-bangsa berbeza oleh Allah, untuk saling mengenal dan belajar? Atas interaksi itu perlu kita berkompromi, menerima dan memberi.”

“Benar apa yang diungkap puteri,sahut sahabat. Lalu meningkah, “manusia itu bermacam jenis dan sifatnya, beraneka ragam dan gayanya. Meski ada interaksi kompromi, kita mesti berawas, kerna pesan orang tua-tua, rambut sama hitam, hati lain-lain. Kita hanya manusia, tidak akan mampu menduga apa yang diminda insan lain; sama ada baik atau buruk, hanya Allah saja yang Maha Mengetahui. Setiap daripada kita punya ambisi dan misi bukan? Meski itu adakala menentu tindak dan laku; maka berhati-hati atas segala gerak gaya kita,puteri. Terkadang itu kita lupa, terkadang kita menjejak-jejak leka. Dalam memberi itu, hendaklah jua berpada;berbatas. Jangan terlalu-lalu memberi sehingga mana tiada apa lagi yang mampu diberi; jua beringat tatkala menerima. Jangan jua terasyik menerima , sehingga lupa tanggungjawab membalas. Dalam setiap tindak itu, mesti ada keadilan; meski harus menang-menang bagi dua pihak, andai tidak, segalanya akan sia-sia.” Tatkala itu, masing-masing tersenyum.

Juga, kali ini kita berjeda seketika. Meski saya berkisah, atas sedikit kisah beliau. Maaf jua, andai tidak jelas akan dimana dan siapa; kerna itu yang sahabat kisahkan, dan itu jua saya coretkan; sebagaimana anda telah maklum, sahabat ini seorang perahsia. Jenuh juga saya menitip dengan biacara-bicara beliau, meski beliau berbicara, mulut saya ibarat terkunci; minda ibarat kaku untuk menyoal; sekadar mampu mendengar, memahami. Dan maaf, tatkala pertemuan dengan sahabat semalam; cukup sini sahaja restu beliau. Kata sahabat, “Meski tiap hikmah itu, hayati dan fahami satu persatu, jangan pula terlalu-lalu tamak; hargai apa yang ada. Cukup sampai sini.” Mari saya tangguhkan kisah ini, insyaAllah, andai punya ruang dan waktu, saya akan kisahkan lagi; tentang sahabat dan puteri.

-untuk yg memahami-

aku hanya hambaMu

Rabu, 13 Jun 2007

meski, aku hambaNya.
kerap seringkali aku terleka.
jua alpa dek indah manisnya dunia.

meski, aku khalifahNya.
ada kala aku terlupa.
dan lalai atas kilauan fatamorgana.

yaALLAH,
meski, tangan2ku;
penuh noda-noda hitam;
tamsilan lumpur busuk.
ampuni daku,
wahai TUHAN yang SATU.
yg MAHA PEMURAH lagi MAHA PENYAYANG.
yg MAHA PEMAAF lagi MAHA PENGAMPUN;
kerna aku, hanya hambaMU.

kau tahu bukan?

(p/s- comment kepada sajak "dalam makam diri" oleh muhammad teja)

memang, segala itu;
kau tahu bukan?

dalam sepi,
sunyi itu mengajar;
kehidupan bukan sekadar,
hilai tawa kosong.
yang perlu kita jelas,
meski ada kabus-kabus.

kehidupan bukan sekadar,
sayu sendu hampa.
yang perlu kita harung,
meski penuh ranjau-ranjau.

dan mutiara-mutiara ini,
bukan sekadar dekorasi.
ingat,
tugas kita menyelam;
dek dasar-dasar lautan sepi.
memerhati dan memahami,
tiap indah kilau sinarnya!

-untuk yg memahami-
Nadim Muhammad
13 Jun 2007, 5.02PM
Rumahku, Syurgaku.

bukan milikku

Isnin, 4 Jun 2007

Tuhan,
andai dia bukan jodohku,
bukan milikku,
lapang2kan hatiku dan hatinya,
tatkala kami meniti usia.
moga aku reda dalam aturanMu.
moga dia bahagia dalam ketentuanMu.
dan aku tunggu, bidadariku.
-utk yg memahami-
4 june 2007, 3.36PM

trilogi senja, hujan(gagak) dan bidadari

Khamis, 31 Mei 2007

(i)-senja
senja terakhir(ii)
(buat mentari; sinar2 dirindui)
p/s- tiada sanggup berhujan lagi

dengan nama ALLAH,
dan adakah ini senja yang terakhir?
sekian mentari hadir,
ada sedikit sinar;
dalam sikit itu,
cukup jua.
apa dikisah?
indah sudah seadanya,
syukur sudah anugerahnya.
moga mentari;
terus-terus sinarannya,
menerangi hari.
teguh-teguh pancarannyamewarnai hati.
dan ini,
bukan senja yang terakhir
-untuk yg memahami-
iQ
26 April 2007

(ii)-hujan(gagak)
hujan kedua (seekor gagak hitam)

hujan kedua dan seekor gagak hitam
dan sekali lagi,
indah ujian TUHAN;
hujan kedua.

seekor gagak hitam;
sepi dalam hujan,
hiba menitip mimpi.
impikan merak kayangan;
siapa gagak mengikat angan.

si hitam duka,sudi dipandang siapa;
mungkin disudi siapa?
layakkah sang hitam,
dalam diri serba kurang?
dan hujan terus berlagu;
hujan kedua.

dalam hujan,
gagak hitam sendiri.
doa sayu pada TUHAN:
jadi aku angsa putih,
anugerahkan merpati syurga.
dalam redaMu kucari kasih,
tenang kukecap bahagia.

hujan kedua,
diiring senja terakhir;
sayu senyuman diukir,
gagak reda atas takdir.

dan sekali lagi,
ini ujian TUHAN;
hujan kedua.

-untuk yg memahami-
Tuesday, 01 May 2007

(iii)-bidadari
aku cabar bidadari(ix)

aku cabar bidadari;
biar tidak kukenal,
akan siapa dikau;
dari mana asalmu.

meski indah namamu,
tidak terungkap,
dalam bait lirik bicaraku.
meski manis wajahmu,
tidak terlakar,
dalam kanvas lakaran hidupku.

meski tenang senyummu,
tidak terukir,
dalam kotak akal fikirku.
meski manja suaramu,
tidak terakam,
dalam pita rakaman memoriku.

biar daku ini naif,
benar aku dalam daif.
akan ku gali khazanah,
sebelum melangkah ku mencari;
tatkala ku dalam menanti.

namun,
pada tiap detik berlalu,
yakin aku hadir dikau,
kerna itu janji Tuhanku;
hadiah anugerah agung untukku.

aku cabar bidadari,
akhiri hujan kedua ini;
jadilah mentari terang,
memancar bersinar mehangat kesejukan.
jadilah pelangi ceria,
menyeri mewarnai titian hari.
jadilah pawana nyaman,
menghembus lembut bayu ketenangan.

tatkala itu,
dikau pemilik intrigku.
aku cabar dikau,
wahai bidadari.

-untuk yg memahami-
Nadim Muhammad (Kaito Kuroba)
31 May 2007, 10:46 PM

“Seorang perempuan shalihah yang akan jadi bidadariku, yang akan aku cintai sepenuh hati dalam hidup dan mati, yang akan aku harapkan jadi teman perjuangan merenda masa depan, dan menapaki jalan Ilahi, itu siapa? Aku tak tahu. Ia masih berada dalam alam ghaib yang belum dibukakan oleh Tuhan untukku. Jika waktunya tiba semuanya akan terang. Hadiah agung dari Tuhan itu akan datang.”
(Petikan daripada Novel “Ayat-ayat Cinta” oleh Habiburrahman Saerozi)

renjana untuk puteri(ii)

Sabtu, 27 Januari 2007

renjana untuk puteri(ii) – bahagian 2

Siapa tahu, kita bertemu tika matahari berlabuh; mengundur diri untuk berkhidmat di hemisfera seberang. Tatkala patik lewat taman-taman dan denai-denai sekitar pondok dan teratak Perkampungan Ilmu Kayangan itu; sekadar melepas penat; sambil-sambil merenung,menilai diri; menanti seruan Ilahi. Pertemuan pada sore itu sekadar yang biasa; puteri bersama sahabat bermesra, patik terseyum kagum, indah indigo jingga mentari senja. Puteri sekadar merenung; lembut,menyusuk; patik sekadar tersenyum; tanda persahabatan disambut, bertaut. Detik-detik berlalu begitu singkat, terlalu singkat; puteri dan patik semakin dekat, ukhwah kita semakin erat. Terasa semalam kita bertemu, terasa semalam segala berlaku. Dan bila pengajian di Perkampungan Ilmu Kayangan selesai, masing-masing membawa diri, bertebaran atas pertiwi.Sekarang patik dan puteri jauh; ya, bukan jauh sekadar jarak dan tempat - jauh kita pada ruang dan masa. Bait-bait simfoni “Kenangan Terindah”, adakala sayup bersipongan, benar-benar menggamit rindu patik pada puteri. Sayup-sayup bersama deru angin, membelai-belai lembut dan mesra; menenangkan.Patik rindu betul; betul-betul rindu akan puteri.

Biar rindu, jangan kita leka, lupa akan perjuangan, tanggungjawab kita. Kita punya tanggungjawab; dunia kita berbeza, patik atas apa yang ditanggungjawabkan, puteri dengan perjuangan sendiri. Ya, dunia kita berbeza, masing-masing kita punya destinasi; biar destinasi mutlak pada yang Esa. Kita punya jalan, punya denai yang disurat dan disirat takdir, harus kita titi dengan cermat dan teliti; penuh awas dan waspada. Tamat pengajian di perkampungan itu, bukan tanda tamat henti perjuangan. Itu hanya satu permulaan. Pesan ibu ilmu kaji hayat: kecemerlangan di sini hanya menentukan hala tuju dalam destinasi, tinggi nilai cemerlang itu, luas, bercabang lagi jalan yang ada untuk dipilih, untuk dilangkah. Jalan-jalan itu menuju dunia, dunia baru. Ya, itu dunia baru, itu baru dunia. Puteri, jalan yang kita sedang dan bakal jejak, kita langkah, ada pahit manis kenangan dan peristiwa, penuh onak ranjau, jua duri datang seriring bersama. Sesuatu peristiwa itu, adakalnya, memang pahit benar tatkala berlaku; tetapi menjadi manis tika kembali dikenang-kenang kenangan. Andai, pahit yang berlaku, sebaiknya dan seadilnya kita membuat pilihan,keputusan, walau terpaksa kita lukakan satu pihak. Itu satu pengorbanan. Dalam jauh kita ini, banyak benar masih kita perlu belajar, banyak jua yang kita kejar. Ada segala macam lagi ilmu yang kita perlu tuntut, orang yang kita perlu temu, pekara yang kita perlu faham. Semua ini akan lengkapkan kita, menbuatkan kita menjadi insan yang lebih baik, berguna dan memahami. Insan yang indah akhlak, lengkap budi dan kamil pekerti. Ini pesan untuk puteri; tak lupa buat patik sendiri.

Dalam kerinduan yang bertandang, patik ingin merangkul segala ruang dan luang, mengukir seribu kesyukuran. Jalinan ukhwah antara kita dianyam kemas dek masa, satu anugerah besar daripada Sang Pencipta. Satu nikmat, satu rahmat. Begitu teliti dan rapi aturan-Nya. Walau begitu puteri, satu-satu hubungan itu, ibarat sebuah pohon; benih yang disemai perlu disiram, pohon yang bertunas dibaja – agar pohon itu terus bercambah dan subur, rendang redup serta berbuah ranum; akarnya teguh dan utuh. Begitu jua dalam apa-apa hubungan, apa-apa perhubungan; menangih komitmen, untuk saling hidupkan, suburkan dengan keramahan kemesraan, dan eratkan, kejapkan dengan saling menghormati, mempercayai. Doa-doakan ukhwah dan jalinan antara kita terus kukuh, tidak putus. Perpisahan kita sekadar sementara, sebentar cuma; bukan perpisahan abadi, insyaAllah, hendakNya kita bertemu lagi. Perpisahan ini jua, ada mungkin satu ujian; menduga kejujuran hati, menguji kesetiaan diri Puteri, terikat dalam ruang dan masa yang jauh, kembara kita ini bukan sekadar kembara kelana kecil. Kembara untuk kita masing-masing mempersiap, memperkemas dan memantapkan diri, personaliti dan peribadi. Kembara yang menjadikan puteri dan patik insan yang jauh lebih matang akal fikir, berhemah menilai zahir. Satu kembara yang menjanjikan seribu pengajaran, ilmu dan pengalaman, yang tiada tercoret dalam lembaran-lembaran kitab dan makalah. Bukan satu kembara fizikal semata, juga ini kembara jiwa. Dan insyaAllah, di akhir kembara kita, andai punya jodoh, puteri dan patik kembali bersua bertemu, andai panjang jodoh, kita diikat, bersatu dalam restu.

Adakala, ya, cepat benar masa itu menjengah, adapun patik ingin mengundur, meminta diri daripada segala panjang bicara ini. Pohon patik, maaf-maafkan andai punya silap patah-patah kata yang disusun, salah ungkap-ungkap madah yang diatur. Renjana patik ini, sekadar yang biasa; sekadar yang kecil – coret-coret rindu seorang hamba, tatkala yang jauh bukan sekadar jarak dan tempat. Puteri, teman sejati itu, bukan insan yang sekadar selalu dekat-dekat di mata, tidak pula yang paling kerap bicara; teman sejati setia, mengingati; dalam setiap bisikan doa. Semoga patik dan puteri berada dalam keredaan-Nya, sehingga kita bertemu lagi. Patik betul-betul rindu, rindu betul akan puteri.“Ya Allah, rahmati dan berkati puteriku, sahabatku , buah hatiku. Mesra kami penawar duka, rindu kami menambah cinta, rajuk kami membuah ceria. Ya Allah, silaturahim kami ukhwah fillah, bermusuh kami na’uzubillah, berpisah mati, insyaAllah. Ya Allah, rahmati kami meniti usia, terpisah kami di alam nyata, temukan semula di taman syurga.”

renjana untuk puteri(i)

Khamis, 4 Januari 2007

Renjana untuk puteri

Salam alaiki, salam sejathera ke atas puteri, dari kayangan patik utuskan. Semoga puteri sentiasa sihat, ceria, senang-senang dan tenang-tenang dalam perjuangan, perjalanan. Tertanya patik, kenapa dan mengapa agaknya, seorang hamba ini bisa menyusun atur aksara-aksara, mengikat-ikat kemas menjadi patah-patah perkataan, yang digubah molek menjadi madah dan madah-madah ini, patik ungkapkan dalam cebisan-cebisan narasi ini, renjana ini. Entah, penat jua menjengah-jengah dalam kotak fikiran, mungkin menemui secebis alasan, bisa patik alaskan sebagai jawapan, sayangnya, penat itu sekadar lelah. Rindu barangkali. Ya, patik rindukan puteri. Maaf patik pohonkan, andai ini puteri terganggu, ikhlas daripada nubari tiada diingin begitu. Dalam patik punya masa yang senggang, terluang, ingin jua patik berkisah-kisah, lebih baik daripada masa itu sia-sia terbuang, hilang.

Masa yang berlari-lari pantas, berlalu sepi, adakala buat kita penat mengejar. Janji ALLAH, atas nama masa, kita sebagai hamba benar-benar kerugian, dalam sebuah kenyataan. Makin besar rugi itu, andai kita tidak memahami, mengerti, bertungkus, berpenat lelah merebut dan mencantas segala peluang yang seiring masa. Dan paling utama, dalam lelah-lelah mengekploitasi suasana dan keadaan, jangan pula kita terlupa pada ALLAH, yang mengatur indah, penuh hikmah perjalanan kita. Maaf lagi puteri, bukan patik ingin membebel, atau berlagak gaya seorang ulama, cukup sekadar mengingati, kerna kita hamba-Nya yang sering lupa. Benar, terasa cepat masa berangkat, terasa lagi angin-angin semalam, penuh kenangan, sarat nostalgia. Ya, adakala patik diusik-usik nakal memori, semasa di Perkampungan Ilmu Kayangan.

Perkampungan Ilmu Kayangan. Perkampungan ini bukan sekadar sebuah kampung, lebih daripada itu. Perkampungan ini satu institusi ilmu, satu destinasi untuk siswa-siswa dan siswi-siswi menyambung perjalanan ilmiah tatkala cemerlang pada tahun ke-6 atau tahun ke-9 dalam sistem pendidikan nasional. Institusi ilmu fasa kedua sebelum melangkah ke tahap pendidikan yang lebih tinggi. Di kampung ini, siswa-siswa dan siswi-siswi dari ceruk rantau; pelusuk Tanah Melayu, singgah buat satu-satu tempoh; ada yang 5 tahun, ada pula sekadar 2 tahun. Masing-masing punya impi, punya mimpi untuk dikejar, direalisasi. Masing-masing punya cita, punya cerita untuk cemerlang, berjaya. Di kampung ini, penuh pondok dan teratak yang megah dan indah, lengkap segala macam fasiliti; tempat siswazah menimba-nimba ilmu dari telaga pengetahuan. Tidak lupa, ibu-ibu dan bapa-bapa yang penuh dedikasi dan berbudi; tempat siswazah memohon bantuan, panduan. Siapa sangka, puteri dan patik bertemu di sini, siapa duga, puteri dan patik berkenalan di sini. Kerja TUHAN, siapa tahu.

Dalam satu-satu pertemuan itu, siapa tahu apa yang menyusul. Hanya TUHAN saja yang tahu; kita sebagai manusia, hamba dan khalifah sekadar merancang cuma, berusaha sehabis upaya, atas kudrat yang terdaya, dituntut tawakal pada Yang ESA. ALLAH yang menentukan segala, Maha Mengetahui. Ini bicara puteri pada suatu ketika kepada patik, masih jelas terngiang serak-serak suara. Ya, patik mengerti, telus dari dasar hati, minda dan jiwa. Kata patik, pertemuan, perkenalan dan persahabatan itu takdir; belum tentu dapat kita bersua, berkenal-kenal dan bermesra yang sesiapa yang kita mahu, tetapi, sudah pasti kita bertemu, berkenalan dan bersahabat dengan insan-insan yang diatur TUHAN untuk kita temui, kenali dan mengayam jalinan silaturahim. Insan-insan yang akan menjadi sebahagian daripada hidup kita, dunia kita. Mereka nanti yang mencorak kanvas kehidupan dengan pelbagai warna, membawa rempah kehidupan yang berjenis perasa.

Utusan patik ini, sekadar yang biasa-biasa. Renjana kecil; bukan kisah cinta agung Puteri Gunung Ledang dengan Laksamana, bukan pula hikayat seribu satu malam Majnun dan Laila, apatah lagi epik lagenda Ramayana dan Dewi Sita. Sekadar diutus untuk merisik-risik khabar, bertanyakan berita, mendengar cerita. Sekadar patik utus untuk patik kongsi penat dan lelah, atas apa yang patik telah lihat, apa yang patik telah lalui dalam kelana, perantauan patik. Ya, patik sekarang seorang kelana, seorang perantau; dalam tanggungjawab seorang penuntut pra perubatan. Mungkin apa yang patik ungkapkan, omongkan, barangkali sekadar ungkapan-ungkapan, omongan-omongan klise; biarlah, andai itu yang lebih tepat, lebih jitu buat patik menyampai segala idea, segala cerita. Alhamdulillah, patik selalu sihat seadanya, biar ada yang masih sakit, ada yang masih luka, ada parut-parut yang masih berdarah. Sakit itu, luka itu dan parut-parut itu sekadar secebis ujian, dugaan; menuntut kesabaran, menangih pengorbanan. Dugaan-dugaan, ujian-ujian itu memang kita tidak menjemput, mengundang; itu anugerah ALLAH. Dalam apa yang datang itu terkandung, berselindung seribu hikmah,penuh rahmah pada yang mahu berfikir,mentafsir. Firman Allah,dalam surah Al-Baqarah ayat ke-216, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”.

p/s- bersambung dalam bahagian (ii)